Rumah biasanya harta paling besar yang dibeli bersama oleh suami isteri. Bila rumah tangga berakhir, rumah itulah yang paling sukar diselesaikan: ada yang masih tinggal di dalamnya, ada yang masih bayar ansuran, dan ada yang tak tahu pun mereka berhak menuntut. Akibatnya rumah dibiar bertahun-tahun tanpa keputusan.
1Apa maksud harta sepencarian?
Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh hasil usaha bersama suami isteri semasa perkahwinan. Rumah adalah contoh yang paling biasa. Mahkamah melihat dua jenis sumbangan:
- Sumbangan langsung: wang yang dikeluarkan untuk rumah, contohnya duit deposit, bayaran ansuran bulanan, dan kos baik pulih atau ubah suai.
- Sumbangan tidak langsung: peranan mengurus rumah tangga dan menjaga anak, yang membolehkan pasangan bekerja dan membayar rumah.
Bagi pasangan Islam, tuntutan dibuat di Mahkamah Syariah di bawah undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing. Bagi pasangan bukan Islam, pembahagian harta perkahwinan diputuskan oleh mahkamah sivil di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dengan prinsip yang hampir sama.
2Rumah atas nama siapa? Ini kesannya
Nama dalam geran menentukan siapa perlu tandatangan semasa menjual, tetapi tidak semestinya menentukan siapa dapat berapa.
| Keadaan rumah | Apa yang perlu tahu |
|---|---|
| Atas nama suami sahaja | Isteri masih boleh menuntut bahagian jika rumah diperoleh semasa perkahwinan. Penjualan perlu tandatangan suami sebagai pemilik berdaftar, atau perintah mahkamah. |
| Atas nama isteri sahaja | Sama juga: suami boleh menuntut bahagian berdasarkan sumbangannya. |
| Dua nama (pemilikan bersama) | Kedua-dua pihak perlu bersetuju dan menandatangani dokumen jualan, kecuali ada perintah mahkamah. |
| Rumah masih ada loan | Baki pinjaman perlu dilangsaikan semasa jualan. Hanya baki bersih selepas itu yang dibahagikan. |
3Harta sepencarian rumah: berapa peratus?
Ini soalan yang paling kerap ditanya, dan jawapannya: tiada peratusan tetap. Pembahagian dibuat mengikut takat sumbangan setiap pihak. Antara perkara yang biasanya diambil kira:
- Siapa bayar deposit dan ansuran, dan berapa lama
- Sama ada kedua-dua pihak bekerja
- Tempoh perkahwinan
- Sumbangan mengurus rumah tangga dan anak-anak
Pembahagian sepertiga atau separuh memang sering disebut, tetapi itu contoh daripada kes-kes tertentu, bukan formula. Kalau kedua-dua pihak boleh bersetuju sendiri tentang bahagian masing-masing, persetujuan itu boleh direkodkan sebagai perintah mahkamah. Cara ini biasanya lebih cepat dan kurang kos berbanding berbicara.
4Tiga pilihan untuk rumah selepas bercerai
- Jual dan bahagi hasil. Pilihan paling bersih. Loan dilangsaikan, baki dibahagi ikut persetujuan atau perintah, dan kedua-dua pihak boleh mula semula.
- Seorang beli bahagian seorang lagi. Sesuai jika seorang mahu terus tinggal di rumah itu, contohnya bersama anak-anak. Biasanya pihak yang kekal perlu membuat pinjaman sendiri atau refinance atas namanya, dan bank akan menilai kelayakannya seorang.
- Simpan dahulu dengan persetujuan bertulis. Contohnya rumah dikekalkan sehingga anak habis sekolah. Pastikan siapa bayar ansuran, cukai dan penyelenggaraan dinyatakan dengan jelas melalui peguam.
5Langkah menjual rumah harta sepencarian
- Dapatkan anggaran harga pasaran berdasarkan transaksi sebenar di kawasan itu, supaya kedua-dua pihak berunding dengan angka yang sama.
- Semak baki pinjaman dengan bank dan dapatkan penyata penebusan (redemption statement).
- Selesaikan bahagian masing-masing, sama ada melalui persetujuan yang direkodkan di mahkamah atau keputusan mahkamah, dengan bantuan peguam.
- Pasarkan rumah, tapis pembeli dan semak kelayakan loan mereka.
- Tandatangan perjanjian jual beli melalui peguam. Pemilik berdaftar menandatangani, atau mengikut perintah mahkamah.
- Langsaikan loan dan bahagi baki mengikut persetujuan atau perintah.
Bekas pasangan tak mahu bekerjasama?
Ini situasi biasa. Ada yang enggan tandatangan, ada yang terus duduk di rumah, ada yang tak mahu bercakap langsung. Beberapa perkara yang membantu:
- Berurusan melalui pihak ketiga. Peguam atau ejen yang berkecuali boleh menjadi orang tengah supaya emosi tidak mengganggu keputusan.
- Bawa angka, bukan tuduhan. Anggaran harga yang adil dan kiraan baki selepas loan membantu kedua-dua pihak nampak apa yang mereka akan dapat.
- Jika tetap buntu, rujuk peguam tentang memohon perintah mahkamah untuk pembahagian atau penjualan rumah.
Bagaimana saya bantu owner dalam kes harta sepencarian
Kes perceraian sensitif, jadi saya uruskan dengan berhemah dan sulit. Sebagai jurutera, saya juga menyemak keadaan rumah: kerosakan, kebocoran atau masalah struktur yang boleh menjejaskan harga. Laporan ringkas ini membantu kedua-dua pihak menerima harga yang munasabah, dan pembeli lebih yakin.
Saya sediakan anggaran harga pasaran percuma, rujukan kepada peguam berpengalaman dalam kes harta sepencarian, dan banker untuk pihak yang mahu beli bahagian bekas pasangan. Jika rumah sudah usang atau lama ditinggal kosong, saya juga sedia beli terus.
Harta sepencarian selepas kematian pasangan
Harta sepencarian bukan hanya untuk kes cerai. Jika pasangan meninggal dunia, tuntutan harta sepencarian boleh dibangkitkan dahulu sebelum baki harta dibahagikan kepada waris. Selepas itu barulah urusan pusaka berjalan. Prosedurnya berbeza mengikut negeri, jadi rujuk peguam syarie. Untuk langkah jualan rumah pusaka, baca cara jual rumah pusaka di Melaka.
Soalan lazim
Rumah atas nama suami sahaja. Boleh ke isteri tuntut harta sepencarian?
Boleh. Rumah yang diperoleh semasa perkahwinan boleh dituntut sebagai harta sepencarian walaupun didaftarkan atas satu nama sahaja. Bahagian setiap pihak bergantung pada sumbangan langsung dan tidak langsung, dan diputuskan melalui persetujuan bersama yang direkodkan atau keputusan mahkamah.
Harta sepencarian rumah berapa peratus?
Tiada peratusan tetap untuk semua kes. Pembahagian dibuat mengikut takat sumbangan kedua-dua pihak. Sepertiga atau separuh sering disebut sebagai contoh, tetapi angka sebenar bergantung pada bukti dan keputusan mahkamah. Dapatkan nasihat peguam untuk kes anda.
Rumah dua nama, tapi bekas pasangan tak setuju jual. Macam mana?
Pindah milik rumah dua nama memerlukan tandatangan kedua-dua pemilik berdaftar atau perintah mahkamah. Jika perbincangan buntu, rujuk peguam tentang permohonan perintah pembahagian atau penjualan melalui mahkamah. Pilihan lain ialah seorang membeli bahagian seorang lagi.
Rumah masih ada loan bank. Boleh jual selepas bercerai?
Boleh. Baki pinjaman biasanya dilangsaikan daripada hasil jualan, dan baki selebihnya dibahagikan mengikut persetujuan atau perintah mahkamah. Pastikan ansuran terus dibayar sepanjang proses supaya rumah tidak berisiko dilelong.
Boleh ke tuntut harta sepencarian selepas pasangan meninggal dunia?
Tuntutan harta sepencarian boleh dibangkitkan selepas kematian pasangan, sebelum baki harta dibahagikan kepada waris. Prosedurnya berbeza mengikut negeri, jadi rujuk peguam syarie atau Mahkamah Syariah negeri berkenaan.
Baca juga: Cara jual rumah pusaka di Melaka (langkah demi langkah) · 5 kesilapan owner ketika menjual rumah · Servis rumah harta sepencarian
Ada rumah harta sepencarian di Melaka yang nak dijual?
Saya uruskan dengan berhemah dan sulit, dari A sampai Z:
- Anggaran harga pasaran dan semakan rumah oleh jurutera PERCUMA
- Rujuk kepada peguam berpengalaman untuk urusan harta sepencarian
- Banker untuk pihak yang nak beli bahagian bekas pasangan
- Pasarkan rumah, semak loan pembeli, urus sampai serah kunci
- Atau saya beli terus rumah usang dan rumah bermasalah